KubusMinda











Oleh Mohd Hafiz Mungin


Assalammualaikum & Salam 1Malaysia.

Bermula sesi pengajian penggal kedua tahun 2011. Tentunya semester ini merupakan semester paling istimewa buat para siswa guru PISMP ambilan Januari 2008 yang kini menginjak ke semester terakhir pengajian iaitu semester 8 sebelum bergelar Legends of KTI.
Setelah lima tahun setengah berkampung di bumi hujung benua ini, mengabadikan kisah pahit duka dan senyum tawa bersama, kita kini berada di episod terakhir sebelum ditugaskan ke segenap pelusuk negara untuk berkhidmat bakti sebagai seorang murabbi – kira-kira 6 bulan lagi. Pastinya kesempatan ini akan kita gunakan sebaiknya. Masing-masing punya impian dan harapan terakhir. Ada yang berusaha mengejar CGPA tertinggi, ada yang ingin melancong ke Singapura, ada yang ingin mewakili institut dalam kejohanan dan pertandingan, dan ada juga yang ingin mencari calon suami/isteri. Pendek kata, apa sahaja azam dan usaha kita, saya mendoakan yang terbaik untuk tahun terakhir kita disini.
Turut mengalukan juga kedatangan adik-adik freshie yang bakal memulakan langkah pertama dalam pengajian yang bakal mengambil masa selama lima tahun setengah dari umur mereka, suatu tempoh yang agak lama yang akan mematangkan diri sebelum bergelar seorang guru yang akan mendidik anak bangsa tercinta. Sediakan mental dan fizikal anda dan timbalah pengalaman dan ilmu sebanyaknya disini, bumi Temenggong ini.
Akhir kata, sekali lagi, buat rakan guru pelatih semester 8, di kesempatan yang masih bersisa ini, kita titipkan sebuah citra budi agar menjadi memori terindah untuk disemat di dalam lipatan kenangan hingga hujung usia. Berbudilah kepada diri dan masyarakat kampus. Kerana harimau itu matinya meninggalkan belang, gajah itu matinya meninggalkan gading dan manusia itu matinya biarlah meninggalkan jasa.  


MohdHafizMungin